PPSMI-Kegilaan Pemansuhannya

Salam Blogger..banyak juga ingin diceritakan dalam bulan ini.. banyak kisah banyak celoteh tapi saya buh yang penting dahulu..

berikut adalah ucapan penangguhan saya semasa Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Ampang. Majlis berlangsung pada 9 Ogos 2009 di Hotel De Palma Ampang.

Assalamualaikum.
Tahun ini genaplah 10 tahun saya mengikuti perkembangan Persidangan Tahunan UMNO Bahagian Ampang (dahulunya Ampang Jaya). Sejak itu jugalah saya memerhatikan perkembangan ucapan dan idea yang diketengahkan oleh para perwakilan. Sehingga pemilihan tahun lalu, kita diundang dengan pelbagai masalah dalaman. Dan sehingga kini pun ia masih berbunyi. Paluan cerita dalam kelambu terus kedengaran. Orang lain sudah berkisah tentang Sheikh Muzaffar bertehtarik di bulan, Dasar Ekonomi Baru dan Liberalisasi, Pemansuhan Dasar-dasar kerajaan terdahulu dan terbaru apa vaksin untuk penyakit Influenza A H1N1. Di bahagian-bahagian lain, pelbagai isu diputarkan semasa Persidangan Tahunan. Bermacam usul dibentangkan. Ada persetujuan dan ada penentangan.

Apakah UMNO Ampang sedang ikut mengejar sama? Atau kita masih lebih suka, mendengar dendangan retorik pemimpin, tanpa memberi maklum balas sewajarnya. Cerita dalam kelambu- Cawangan hentam Bahagian, Bahagian hentam Cawangan. Sampai bila ia harus dibincangkan di persidangan setahun sekali ini? Tidak adakah isu yang lebih penting? Sampai bila imej UMNO harus dimomok dan diburukkan? Saya berpendapat, imej UMNO Ampang sangat baik. Masakan tidaklah Dato’ Seri Presiden sanggup turun dan merasmikan Persidangan ini? Imej kita di bahagian-bahagian lain saya kira baik. Dari kaca mata umum juga tidak ternampak kerosakan. Mungkin kita harus berterima kasih kepada kepimpinan terdahulu. Dan di atas kesinambungan kepimpinan hari ini, imej Ampang masih berada dihadapan berbanding tempat lain.

Tuan/Puan,
Berbalik kepada perkara pokok yang ingin saya sampaikan. Memandangkan permasalahan ini baru sahaja timbul, maka tidak sempat saya masukkan ke dalam usul di Cawangan. Pada awalnya, saya berharap, supaya apa yang saya ketengahkan ini dijadikan usul tergempar. Saya faham tuan-tuan lebih suka jika Mesyuarat ini ditamatkan pada waktu ini juga. Sebab itu saya ubah fikiran dan bawa isu ini sebagai intipati ucapan penangguhan saya. Kerana saya yakin, masa anak-anak bersama Tuan/Puan adalah jauh lebih penting pada ketika ini, daripada perkembangan dan hala tuju mereka pada 20 tahun akan datang. Apa yang mereka peroleh, apa yang mereka bakal kehilangan pada masa depan tidak penting. Yang penting mereka mendapat belaian ibu bapa, sepulangnya Tuan/Puan ke rumah lewat petang nanti.

Tuan/Puan.
Pada tahun 2003, Kerajaan memperkenalkan satu dasar dalam system pendidikan Negara kita. Dasar tersebut dinamakan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebelum pergi lebih jauh, suka saya menyentuh mengenai latar belakang pengenalan kepada dasar ini. Pada asalnya, Majlis Kerja Tertinggi UMNO bercadang untuk memansuhkan semua Sekolah Jenis Kebangsaan @ Vernakular. Dua sekolah diperkenalkan. Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Aliran Inggeris. Sekolah Aliran Inggeris menggunakan sepenuhnya bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Namun ia mendapat bantahan majoriti ahli MKT. Maka diputuskan hanya dua subjek sahaja yang akan di ajar dalam bahasa Inggeris iaitu Matematik dan Sains. Alasannya mudah, munasabah dan tidak ada unsur kegilaan. Matematik dan Sains merupakan elemen penting dalam usaha menerokai Tekonologi. Teknologi pada masa kini mencatatkan penemuan terbaru pada setiap masa. Sains merupakan subjek yang sentiasa bergerak, apabila ada penemuan baru maka pasti akan ada istilah-istilah baru tercipta. Sebagai contoh di dalam Blog www.chedet.co.cc Tun Dr Mahathir menjelaskan dengan waras dan mudah
Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;
Oxygenation,
Oxidation,Oxide,Oxidants,Deoxydation,Oxidise,Oxidification,Dioxide,Monoxide,Peroxide

Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.
Malang bagi kita, kerana Sains Teknologi tidak datang dalam bahasa kita. Kerana kita masih belum mampu mempelopori apa-apa teknologi. Sebahagian besar perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang diinggeriskan. Benar!! kita boleh Melayu-kan perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan dalam lain-lain bahasa. Namun seperti contoh di atas, jika perkataan Oksigen sahaja sudah mempunyai 9 cabang, berapa banyak perkataan Inggeris akan di-Melayukan. Akhirnya Bahasa Melayu sendiri akan jadi bahasa Inggeris dan hilang identitinya. Cubalah kita melayukan perkataan di atas. // Sebenarnya kita membuka malu kepada bahasa kita sendiri kerana akhirnya kita bercakap dalam bahasa yang kita sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Bahasa teknologi akan jadi bahasa rojak.

Tuan/Puan,
Seperti yang saya sebutkan tadi Ilmu Sains bukan ilmu statik. Saban hari pasti ada penemuan, kajian dan penyelidikan terbaru maka timbullah istilah baru. Mengapa kita tidak menggunakan pakar penterjemahan? Kerana penterjemah tidak mungkin mampu mengejar perkembangan teknologi. Bayangkan berapa banyak kajian dan teknologi baru yang diperkenalkan setiap masa -yang bukan datang dalam bahasa kita? Mengapa perlu kita menunggu orang untuk menterjemahkan satu buku untuk kita sedangkan kita mampu mempelajarinya dalam bahasa mereka? Tidak perlu kita menunggu buku edisi Bahasa Melayu keluar di MPH Books Store, apabila kita sudah mahir bidang tersebut dalam bahasa yang mengeluarkan teknologi tersebut.

Bila agaknya kita boleh belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu? Apabila kita sudah menjadi pelopor kepada teknologi. Pada waktu tersebut berduyun-duyun bangsa asing ingin mempelajari bahasa kita kerana mahu mempelajari teknologi yang kita pelopori. Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Siapa yang mahu belajar bahasa kita sekarang? Oleh itu kita harus mengejar teknologi dengan harapan satu hari bila kita sudah menguasai dan mempeloporinya, maka kita akan dapat lihat berbondong-bondong orang mahu belajar bahasa kita, dan kita pada masa itu mampu mendabik dada kerana pada waktu itu bahasa sudah melambangkan bangsa.
Beberapa persoalan juga timbul jika kita perlu menangguhkan PPSMI diperingkat Sekolah Rendah dan memulakannya di peringkat Sekolah Menengah. Lupakah kita satu peribahasa melayu- melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lupakah juga kita bagaimana ayah dan ibu kita mengajar kita membaca AL-Fatihah seawal usia kita 4 tahun. Mengapa? Kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka kini saya berharap hadirin sekalian dapat memahami dan mengerti, betapa pentingnya Bahasa Inggeris untuk di ajar dalam matapelajaran Sains dan Maltematik semenjak di peringkat awal lagi.

Seterusnya berkenaan permasalahan tenaga pengajar yang kononnya tidak cukup atau tidak berkualiti. Tentulah kita tidak boleh suruh guru bahasa Inggeris mengajar Matematik dan Sains, sebaliknya guru-guru Sains dan Matematik perlu menguasai bahasa Inggeris supaya dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan. Kerana mereka mempunyai asas dalam dua bidang tersebut. Namun mereka ini bukanlah guru PPSMI dalam erti kata sebenar. Kerana mereka menguasai matapelajaran tersebut dalam bahasa ibunda masing-masing dan adalah sukar untuk mereka mengajar dalam Bahasa Inggeris. Sebab itulah Kerajaan pada waktu tersebut tidak lokek mengeluarkan belanja yang besar untuk menyediakan kemudahan latihan, perisian computer malahan bonus kepada guru PPSMI supaya guru-guru ini bekerja ke tahap terbaik dalam menyampaikan ilmu Sains dan Matematik.

Lantaran itu, persoalannya siapa dia Guru PPSMI dalam erti kata sebenar?
Batch pertama yang menduduki SPM dengan PPSMI sudah berumur 19 tahun kini. Ada antara mereka mengambil mata pelajaran Sains dan Matematik dan berminat untuk menjurus ke profession keguruan. Golongan inilah, yang belajar, mampu berfikir dan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, yang akan menjadi guru PPSMI dalam erti kata sebenarnya. Proses untuk menuai hasil bukan datang pada jalan singkat. Seperti menuntut kemerdekaan, kita bermandi darah selama 400 tahun dan akhirnya kita mengenal pasti bahawa dengan bermandi darah sahaja tidak mungkin kita mampu merdeka. Dan kita menggunakan ketajaman akal berunding di meja bulat bersama penjajah supaya kemerdekaan dapat dicapai. Apakah ia jalan yang mudah?
Dan kita sedia maklum. Kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan Dasar yang menguntungkan bangsa ini pada 3 tahun lagi.

Hadirin sekalian,
Alasan Kerajaan di atas pemansuhan ini adalah kononnya disebabkan oleh Bahasa Melayu terasa terpinggir dalam sistem pendidikan kita. Jati diri anak bangsa terhakis dan terkikis. Dan mungkin juga bertentangan dengan slogan 1Malaysia. Oleh itu, pada tahun 2012 semua Sekolah Kebangsaan akan menggunakan semula Bahasa Melayu dalam dua mata pelajaran tersebut. Bagaimana pula dengan Sekolah Jenis Kebangsaan? Adakah mereka juga menggunakan Bahasa Melayu demi memartabatkan Bahasa Kebangsaan? Bukankah itu tujuan kerajaan? Sebaliknya sekolah vernacular ini dibenarkan untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa ibunda masing-masing, iaitu Tamil dan Kantonis. Mengapa keturunan bangsa pendatang boleh diberikan hak yang sebegini? Tidakkah ia bertentangan dengan slogan 1Malaysia yang mengimpikan setiap daripada kita hanya mempunyai satu identity Bangsa? Bangsa Malaysia!!

Sebaliknya, kita mempunyai berpuluh etnik di Sabah dan Sarawak. Mereka ini adalah penduduk pribumi dan bukannya Keturunan Pendatang Asing. Dalam perlembagaan mereka ini seharusnya diberi keutamaan, mempunyai hak-hak yang sama seperti bangsa Melayu dalam pendidikan. Di mana pula hak mereka? Sepatutnya setiap etnik berlainan bahasa di Sabah dan Sarawak diberikan hak untuk mereka belajar dalam bahasa Ibunda mereka. Adilkah kita memberi lebih kepada Keturunan Bangsa Pendatang dan menafikan hak pendidikan yang sepatutnya mereka terima?

Dato’ Seri Rais Yatim pula dalam wawancara bersama Hujah NTV7 menyatakan bahawa dalam semua hal urusan Awam, Bahasa Melayu mesti dijadikan bahasa pengantar. Apakah Sekolah Vernakular bukan sebahagian daripada urusan Kerajaan/Awam?

Sebaik memansuhkan PPSMI, kerajaan dengan bijaksana telah membuat satu lagi keputusan sebagai timbal balas kepada pemansuhan ini. Kerajaan mengumumkan untuk menaikkan taraf Bahasa Inggeris dengan cara Syarat Wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM. Matlamatnya mudah. Supaya pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris dengan berkesan. Sudah tentu saya faham dengan perkara ini. Ia cukup mudah untuk difahami. Ia samalah dengan menaikkan taraf Bahasa Inggeris setaraf dengan Bahasa Melayu. Maka adakah Bahasa Melayu dapat terus didaulatkan, dengan cara menaik taraf Bahasa asing setaraf Bahasa Melayu? Tidakkah ini bercanggah dengan alasan pemansuhan PPSMI?

Ironinya hadirin sekalian, saya pasti setelah diterangkan sebentar tadi hadirin semua faham dengan jelas apakah tujuan sebenarnya Dasar PPSMI dilaksanakan. Iaitu bagi mengejar teknologi. Dan mari kita lihat apa yang pemimpin kita faham mengenai dasar PPSMI sepertimana yang Tuan/Puan faham.

Matlamat Memantapkan Penguasaan Bahasa Inggeris Masih Sama - Najib

PUTRAJAYA, 9 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata matlamat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara masih sama walaupun kaedah pelaksanaannya berbeza apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.
"Ini semua menggambarkan kerajaan amat prihatin tentang betapa pentingnya penguasaan bahasa Inggeris yang amat baik untuk menentukan kita boleh bersaing dalam era globalisasi,"
"Kita memikirkan dengan tambahan waktu dalam bahasa Inggeris dan pengenalan kesusasteraan Inggeris adalah cara yang lebih baik daripada mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
"Cadangan ini (untuk mengubah PPSMI) telah dikaji oleh menteri pelajaran sebelum ini dan para profesional dalam kementerian itu memberikan cadangan ini bahawa kita patut pergi kepada asas tempoh hubungan masa yang panjang dalam Bahasa Inggeris dan pengenalan kesusteraan Inggeris adalah cara terbaik untuk mencapai kecekapan dan seterusnya menguasai bahasa Inggeris," katanya.

Hadirin sekalian, lama juga saya berfikir apakah sebenarnya sebab kerajaan dengan megah memansuhkan dasar ini. Rupanya pemimpin kerajaan sendiri pun tidak faham apa sebenarnya objektif PPSMI. Apakah kena mengena cara kita mengejar teknologi dangan pengenalan kesusasteraan Inggeris? Mungkin DS Najib pernah membaca mana-mana artikel atau puisi indah Williams Shakespere tentang cara-cara membuat roket? Wallahualam..

Tuan/Puan tanyalah diri kita sendiri. Mengapa agaknya Kerajaan mengambil langkah ini? Langkah yang mereka sendiri tidak faham matlamat asalnya. Mungkinkah kerana kita melihat ada beberapa ribu orang daripada 26 Juta rakyat Malaysia bergolek dan berarak di Kuala Lumpur sambil mengusung keranda lantaran Kerajaan mendapati rakyat tidak mahukan dasar ini? Suara siapa yang Kerajaan dengar? Pungutan suara di blog www.chedet.co.cc telah mengumpul 100 000 maklum balas mengenai hal ini. 86 360 responden menyatakan bantahan terhadap pemansuhan PPSMI. Suka saya bertanya, suara siapa yang Kerajaan dengar? DS Najib pada ucapan perasmian Persidangan Pemuda, Wanita, Puteri Mac 2009 dengan lantang menyatakan bahawa “Zaman Government Knows All sudah berlalu”. Sayangnya ia tinggal ucapan. Kerajaan masih maha mengetahui akan segalanya.

Malang bagi anak bangsa kita. Kerajaan yang kita sendiri pilih, ditunjangi parti yang kita anggotai dan diputuskan oleh pemimpin yang kita sendiri angkat hari ini telah sendiri mengkhianati agenda perjuangan bangsa. Pemimpin menghantar anak mereka ke sekolah swasta Inggeris, ke luar Negara tetapi menidakkan hak pendidikan baik bagi orang Melayu di Sekolah Kebangsaan.

Mungkin dasar ini kelihatan gagal walaupun sebenarnya dasar ini menunjukkan peningkatan walau terdapat kepincangan dari segi pelaksanaan. Saya teringat satu peristiwa sempena 100 hari DS Najib sebagai PM. Beliau tanam satu pokok yang dinamakan pokok doa. Saya mencadangkan kepada DS Najib, jika pokok itu tidak subur maka tidak perlulah ia dibajai. Ambil kapak dan tebanglah ia. Mudah dan berkesan. Kemudian tanam pokok yang baru dan jikalau tidak subur maka tebanglah ia. Begitulah seterusnya sehingga pokok yang benar-benar subur tumbuh, entahkan bila. Benarlah kata pujangga. Mereka yang tidak belajar sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesilapan lampaunya, berkali-kali.

Semasa di satu Program Wacana di PWTC 11 Julai lalu. Dato’ Seri Najib memberi tafsiran kepada perkataan ‘gila’. Gila yang pertama adalah apabila kita bercakap dengan diri sendiri, dan kemudian kita jawab semula apa yang kita katakan. Kegilaan yang kedua adalah apabila sesuatu dasar tidak mampu mendatangkan hasil tetapi kita terus bergantung kepadanya untuk mengharapkan hasil. Suka saya menambah satu lagi definisi ‘kegilaan’ dalam konteks ini. Kegilaan ketiga adalah apabila kita memansuhkan sesuatu dasar tanpa memahami matlamat asal dasar tersebut. Itu juga adalah kegilaan.

Saya mohon mencadangkan atas alasan pemansuhan dasar yang menguntungkan bangsa ini, Kerajaan pulang kepada perbincangan asal mengenainya-default. Supaya Kerajaan memansuhkan sekolah-sekolah vernacular dan memperkenalkan dua jenis Sekolah Aliran. Sekolah Kebangsaan- yang menggunakan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu dan Sekolah Aliran Inggeris-yang menggunakan bahasa pengantarnya Bahasa Inggeris. Dan saya juga mencabar sekiranya hasrat ini tercapai, kerajaan dan pembangkang membuka mata dan melihat berapa ramai ibu bapa Melayu yang teruja menghantar anak mereka ke Sekolah Aliran Inggeris. Dan kepada Pejuang Bahasa yang lebih teruja mempertahankan bahasa Melayu, saya cabar jangan hantar anak-anak ke sekolah Inggeris. Kerana anak-anak mereka pasti akan hilang kemelayuannya kerana berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di sekolah.

Oleh yang demikian, dengan berbekalkan semangat 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, saya mencabar kepimpinan UMNO Bahagian Ampang menyampaikan hasrat ini. Saya tidak mampu memberi apa-apa kepada Dato’ Ismail Kijo jika beliau berjaya dalam hal ini. Apa yang mampu, saya akan bawa tiga orang adik saya, yang sedang belajar di Sekolah Rendah dan Tadika untuk berjumpa, bersalaman dan seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Ketua Bahagian di atas usaha tersebut!!

Hadirin sekalian, cukuplah sampai di sini. Izinkan saya menutup ucapan saya dengan maksud yang terkandung di dalam Surah Al-Asr.

“Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran ”

Oleh itu, masa yang saya pinjam daripada Tuan/Puan petang in tidak meletakkan mana-mana pihak dalam kerugian kerana kita sedang berpesan-pesan kepada kebenaran. Dan kesabaran Tuan/Puan mendengar kepada kebenaran tidak juga meletakkan Tuan/Puan di dalam kerugian.
Wallahualam.
Sekian, Terima Kasih.

Assalamualaikum

untuk huraian dan perbincangan lanjut di

http://www.kelabchedet.com/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=1652#28069

Comments

Popular posts from this blog

G7 [Politik]

The Road I Took

Behind the shadow, there is love.