Wednesday, June 17, 2009

Ayah

Salam..

Khamis lalu, lebih kurang waktu macam ni aku dikejutkan dengan berita Ayah ditahan Wad.

Sebenarnya pada sebelah pagi, ayah bawa nenek dari Melaka(sebelah ibu) untuk menjalani rawatan di Hospital Pakar Ampang Putri. Aku, bersama seorang Makcik dan Pakcik turut bersama. Ayah hadir lebih awal di APSH untuk mendapatkan temujanji dengan Dr Sakinah. Setelah tiba di APSH, aku jumpa Ayah dengan wajah yang agak sugul dan pucat. Aku tak terfikir apa-apa. Biasalah, tekanan orang Politik. Alhamdulillah. Nenek berjaya mendapatkan rawatan. Ditahan di Wad 537.

Setibanya aku dihospital di sebelah petang, terus aku naik ke tingkat 6-bilik 661 yang menempatkan Ayah. Selipar, Baju dan Seluar, Cermin mata ada si salam bilik. Yang tiada orangnya. 15 minit aku tunggu, rasa tak sedap hati. Aku bertanya kepada Jururawat yang menjaga kaunter. Katanya ayah buat 'scoping' di tingkat 2. Aku menunggu.

30 minit kemudian Ibu ada di muka pintu bilik. Katanya "Jom tengok Ayah". Aku tak tahu yang tetamu boleh melawat pesakit yang sedang menjalani 'scoping'. Aku turun ke tingkat 2. Unit Diagnostik. Sampai di tingkat dua, Dr Suib menyapa. "Isteri Encik Aziz?" Ibu mengangguk.

"Encik Aziz kehilangan banyak darah. Dia mengalami pendarahan semasa buang air besar. Saya tak sempat buat scoping, dia dah pengsan. Tekanan Darah rendah. Jadi saya tahan dia di ICU dahulu, saya akan monitor di sana." sambil menunjukkan arah Unit Rawatan Rapi.

Dr membenarkan kami melawat Ayah. Kelihatan separuh sedar, dahi Ayah dikucup Ibu. Terkedu aku melihat keadaan lelaki yang berusia 55 tahun itu terlantar di atas katil, yang diusung oleh para jururawat. Mereka membawanya ke ICU 10.

Rupa-rupanya, ayah telah menyedari akan perkara tersebut seawal pagi lagi sebelum ke APSH. Dan semasa menunggu kehadiran kami di APSH, ayah buang air beberapa kali. Semuanya keluar darah. Aku sedikit bersalah kerana gagal mengesan sesuatu pada raut wajahnya di pagi hari tersebut.

Tujuan utama mahu membetulkan Nenek, tapi dia pula yang jatuh sakit. Aku panjangkan Selawat dan Istighfar.

Jururawat meminta kami mengosongkan Wad 661 supaya tidak dikenakan bayaran berganda.

Selepas Maghrib, kami ke hospital. Ayah telah pun sedar sepenuhnya walaupun sedikit lemah. Alhamdulillah. Kelihatan beberapa bungkusan darah di atas meja hadapan katil Ayah. Ayah akan menerima darah baru malam ini. Dan dijadualkan untuk menjalani scoping pada esok pagi.

Pagi Jumaat, kami keluar seawal 8 pagi. Menunggu di luar Unit Diagnostik. Aku tertidur di atas kerusi sambil menunggu proses tersebut. Sejam selepas itu aku dikejutkan. Dr Suib menjelaskan. Terdapat beberapa gelembung-seperti cacar air,sdikit luka dan sedikit kebocoran usus dikesan. Puncanya, mungkin disebabkan pemakanan(ayah telah menjalani pembedahan pembuangan hampedu 2 tahun lalu). Jadi badan ayah tiada penapis kepada hasil pemakanan yang diambil. Ia menjejaskan usus.

Dr Suib menenangkan kami. Katanya, "saya akan beri dia ubat. 80% peluang untuk darah berhenti. Tak perlu risau. InsyaAllah. Kalau pendarahan masih berterusan, mungkin kena jalani pembedahan dalam masa terdekat. Dia masih belum sedar kerana diberi ubat pelali. Dan boleh pindah kepada wad biasa."

Sedikit lega. Alhamdulillah. Hari pertama di Wad 430, aku dan Ibu menemani ayah. Masih ada pendarahan pada hari tersebut. Sabtu malam, giliran adik pula di hospital. Khabarnya masih ada sedikit pendarahan.

Nenek di Wad 537, tidak mengetahui apa-apa tentang ayah. Kami beritahu, yang menantunya itu bekerja diluar kawasan. Jikalau dia tahu, pasti lebih teruk keadaannya nanti. Nenek diizinkan pulang pada hari Ahad. Alhamdulillah.

Aku menemani ayah berseorangan pada Ahad malam. Isnin kelasku bermula jam 10 pagi. Ibu harus pulang membetulkan adik-adik yang bersekolah. Walaupun ayah dah mampu berjalan sendiri, beberapa wayar di badan dan tangan telah dicabut, Ibu bertegas menyuruh aku tidur di Hospital. (walaupun ayah sendiri suruh aku balik, ada kelas esok)

Ibu kata ayah sedikit mabuk-mungkin disebabkan dia tidak mengambil ubat darah tinggi beberapa hari ini-masih belum dibenarkan Dr Suib.

Dr Suib kata, jika tiada pendarahan pada hari Ahad dan Isnin, ayah boleh dibenarkan pulang pada Selasa pagi. Kedua-dua malam tersebut ayah ditemani aku. Setiap kali ayah ke tandas aku bertanya "ok tak?". Dan jawapannya positif.

Alhamdulillah. Selasa pagi, genap hari keenam ayah di APSH Dr Suib membenarkan ayah pulang. Dan sudah dua hari bermalam dirumah, ayah seperti biasa tak kelihatan di rumah pada siang hari. Dr Sakinah (yang menjaga hal darah tinggi dan diabetic) selalu membingitkan telinga ayah. "Bawa-bawalah berehat, orang politik ni degil betul..", katanya. Aku memahami tugas getir seorang ahli politik. Tidak pernah ada rasa rehat.

Aku pun belum tentu dapat menghadapi dugaan yang dia hadapi. Kos rawatan? Entah dari mana dia peroleh untuk menjelaskannya. Maklumlah. Keadaan tak lagi sama seperti dahulu.

Sepak terajang dalam politik tak pernah memenatkannya. Pening Lelah menghadapi karenah anak-anak dihadapi dengan sabar. Banyak juga yang aku dah lakukan, membuatkan dia pening dan lelah dari hal dalam rumah sampailah kepada hal jiran sebelah.

Entah darimana Tuhan datangkan Ayah sepertinya. Aku menerima dengan berlapang dada.

Alhamdulillah...

Walalhualam.

p/s: terima kasih kepada semua yang sudi datang melawat ayah di APSH. Syukran..

No comments:

Post a Comment